Friday, July 31, 2009

http://himpunanmansuhisa.wordpress.com/



Syed Ibrahim: Cukuplah 49 tahun ISA mengganas

Syed Ibrahim: Cukuplah 49 tahun ISA mengganas

Posted on Friday, July 31 @ 23:00:03 MYT by Paktam
Oleh Norlaila Othman
"Pergi jahanam dengan GMI", tajuk berita dari M-Star dan "Umat Islam diharamkan menyertai himpunan jalanan", dari Berita Harian adalah dua bentuk provokasi dan ancaman yang dikeluarkan oleh media arus perdana menjelang Himpunan Aman MANSUH, esok 1 Ogos.

Sesiapa saja yang membaca berita-berita tersebut, terutamanya penduduk Malaysia yang tinggal di kawasan yang tidak mendapat liputan internet, pasti akan merasa kurang selesa untuk hadir ke Kuala Lumpur, Sabtu ini

Oleh sebab itu, Pengarah Himpunan MANSUH, Syed Ibrahim Syed Noh sekali lagi menegaskan bahawa Gerakan Mansuhkan ISA(GMI) yang mewakili 83 gabungan parti politik dan NGO tetap akan meneruskan perhimpunan tersebut.

Pihak penganjur sentiasa mengambil sikap berjaga-jaga dan faktor keselamatan akan ditingkatkan, agar himpunan tersebut bebas dari sebarang provokasi yang boleh mengganggu dan melibatkan para demonstran.

"Himpunan MANSUH ini adalah satu platform yang disediakan supaya rakyat dapat menyuarakan dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap penggunaan akta tahan tanpa bicara, ISA yang telah menganiaya lebih 17 ribu rakyat malaysia dari pelbagai kaum dan latar belakang.

"Tahun ini, usia ISA masuk 49 tahun, cukuplah setakat itu akta tersebut digunakan ke atas rakyat Malaysia," kata Syed Ibrahim ketika memulakan sidang akhbar di bangunan Pejabat Agung PAS petang semalam.

"Aktiviti GMI bukan bermula semalam. Ianya telah dimulakan sejak tahun 2001 lagi. Pelbagai aktiviti dilakukan untuk memberitahu pemimpin yang sedang berkuasa sekarang bahawa akta tanpa bicara ISA amat zalim kerana ia mencabul hak asasi mangsanya, sepatutnya segera dihentikan penggunaanya.

"Di Malaysia sudah ada terlalu banyak undang-undang yang boleh digunakan terhadap apa juga jenis kesalahan justeru itu, ISA sudah tidak diperlukan lagi kerana akta itu terbukti lebih banyak mendatang mudharat kepada rakyat," tambah Syed Ibrahim lagi.

"Pertubuhan bukan kerajaan seperti PEWARIS dan MAGARAN yang menyokong ISA juga berhak untuk berhimpun walaupun ianya diadakan secara 'kebetulan' pada tarikh dan masa yang sama dengan himpunan MANSUH ISA anjuran GMI.

"Namun, yang amat jelas, himpunan GMI telah dirancang beberapa bulan lebih awal dan pihak jawatankuasa kerja MANSUH telah bertemu dengan pelbagai NGO serta parti politik untuk menerangkan, memberitahu dan memohon sokongan terhadap penganjuran himpunan tersebut.

"GMI telah berkunjung kepejabat Menteri Dalam Negeri, SUHAKAM , Bar Council, Mahasiswa, Persatuan Cina, Hindraf dan parti politik Pakatan Rakyat. Siri ceramah 'roadshow' yang dianjurkan oleh Pemuda Pakatan Rakyat di seluruh negara pula adalah khusus untuk memberitahu orang ramai tentang ISA dan seterusnya memohon sokongan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman supaya turun ke Kuala Lumpur untuk sama-sama menyatakan bantahan terhadap akta drakonian itu," kata Pengerusi GMI itu.

"Kami juga telah menyerahkan sepucuk surat pemberitahuan tentang himpunan ini kepada Polis dua hari lepas. GMI memohon, pihak polis turut membantu memudahkan dan melancarkan perjalanan para demonstran di himpunan aman tersebut. Tiada sesiapa, terutamanya dipihak GMI yang mahu berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Berilah sedikit ruang pada rakyat untuk melakukan sesuatu yang menjadi hak mereka iaitu kebebasan berkumpul sepertimana termaktub di Perlembagaan Persekutuan,? demikianlah beliau mengakhiri sidang media tersebut.

Turut hadir di sidang media itu ialah Timbalan Pengarah MANSUH, Kamaruzaman Mohammad Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Ustazah Nuridah Ketua Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah, Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat dan Nashita Mohd Noor, Bendahari GMI. _

Sunday, July 5, 2009

Manek Urai: 6,000 pelajar dapat uniform, beg sekolah

http://www.malaysiakini.com/news/107878

Manek Urai: 6,000 pelajar dapat uniform, beg sekolah
Jul 5, 09 9:32pm

Seramai 6,142 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Arab di Manek Urai mendapat perhatian Kementerian Pelajaran yang akan memberikan mereka bantuan uniform dan beg sekolah secara percuma.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata pemberian itu telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau beberapa hari lalu sebagai tanda ingatan kementerianberkenaan.
"Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran telah menyatakan kepada saya untuk memberikan bantuan itu kepada semua pelajar di Manek Urai tanpa seorang pun terkecuali.
"Ini sebagai tanda ingatan daripada kementerian dan juga dapat meringankan beban rakyat di sini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Operasi BN di Manek Urai hari ini, lapor Bernama.
Mustapa berkata sebagai permulaan 300 pelajar telah menerima bantuan itu mulai hari ini dan kesemua bakinya akan menerima secara berperingkat. Sebelum itu Mustapa sendiri telah menyampaikan bantuan itu bagi mewakili Muhyiddin di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.
Terdapat 10 buah sekolah rendah, 12 menengah dan sebuah sekolah aliran Arab di Manek Urai.

Penamaan calon esok

Sementara itu Mustapa meminta majikan baik di sektor kerajaan dan swasta membenarkan kakitangan mereka untuk pulang mengundi memilih wakil rakyat baru DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.
"Jangan nafikan hak pengundi dan ini merupakan kesalahan," katanya.
Beliau mengulas kenyataan pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini yang mendakwa mendapat laporan ada majikan yang tidak akan membenarkan pengundi di Manek Urai untuk pulang menunaikan tanggungjawab itu.
Selain itu Mustapa berkata fasa kedua kempen pilihanraya Manek Urai akan bermula esok yang merupakan hari penamaan calon DUN itu.
Esok Muhyiddin dijangka mengetuai perarakan lebih 10,000 penyokong BN ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.
BN menamakan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat, 39, sebagai calonnya manakala PAS meletakkan harapan kepada Bendahari PAS Kuala Krai, Fauzi Abdullah, 50, bagi mempertahankan kerusi DUN itu.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripadaPAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung. Dalam pilihanraya umum 2008, Ismail menang kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti 1,352 undi, menewaskan calon BN Mohamed Zulkepli Omar.